Sebuah pertemuan
“ Ummi, surat tawaran kemasukan ke
Universiti Sains Malaysia dah sampai”, kata Dhieya kepada Puan Lela, sambil
menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih.
Puan Lela mengambil sampul surat itu dan
menatapnya dengan penuh rasa kesyukuran. Dhieya, anak gadis sulungnya bakal
menjejakkan kaki ke dunia yang baru. Segala kepenatan dan kesukaran Puan Lela
dalam membesarkan tiga anak gadisnya sebagai seorang ibu tunggal terbayar
setiap kali anak-anak gadisnya berjaya dalam pelajaran. Air mata yang hampir
tertumpah ditahan sekuat mungkin. Dia tidak boleh menangis di hadapan Dhieya.
Ini baru permulaan!
“ Ummi, kenapa ummi termenung tengok surat
tu?”, tanya Dhieya yang berasa hairan akan kelakuan ibunya. Namun, jauh di sudut
hatinya, Dhieya tahu ibunya gembira akan dirinya yang bakal menjadi seorang
pelajar di salah sebuah universiti yang terbaik di Malaysia.
Puan Lela memandang Dhieya dan melemparkan
sebuah senyuman yang paling manis buat anak gadisnya.
“ Ummi rasa berdebar-debarlah nak buka
surat ni. Along bukakanlah, ummi nak ambil cermin mata ummi dulu”, balas Puan
Lela dan menuju ke bilik tidur mereka. Dalam setiap langkahnya, Puan Lela
menyeka air mata yang tumpah di pipinya. “ Alhamdulillah”, ucapnya di dalam
hati.
Dhieya menunggu ibunya kembali untuk
membaca surat tawaran itu bersama.
“ Ummi, along kena daftar diri pada 15
September 2010 ni”, kata Dhieya.
“ Kos apa along? Berapa tahun?”, tanya Puan
Lela.
“ Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan
Bioperubatan, kos 4 tahun ummi”, balas Dhieya.
“ Bioperubatan? Kos tu tentang apa? Kubang
Kerian, Kelantan? Jauhnya dari Negeri Sembilan”, seribu satu persoalan muncul
di benak hati Dhieya. Dia sudah mula berasa risau kerana terpaksa berjauhan
dengan ibu dan adik-adiknya. Tanpa dia sedari, surat tawaran itu merupakan
titik awal kepada sebuah pertemuan yang tidak akan pernah dilupakan buat
selama-lamanya.
Tanggal 13 September 2010, Dhieya dan
keluarga bertolak ke Kubang Kerian, Kelantan. Dalam perjalanan, Dhieya dan
keluarganya berhenti makan, solat dan berehat di sebuah masjid yang terletak di
Terengganu. Selesai menunaikan solat
jamak, mereka pun menikmati makanan tengah hari yang telah dibawa dari rumah di
perkarangan masjid itu.
Sewaktu mereka sedang makan dan berehat,
Dhieya sekeluarga disapa oleh sebuah keluarga yang juga berhenti rehat di
masjid tersebut.
“ Assalamualaikum”, sapa seorang perempuan
yang berusia lingkungan 40-an itu.
“ Waalaikumussalam”, balas Puan Lela sambil
tersenyum.
“ Kamu sekeluarga ni dari mana nak ke mana?’,
tegur wanita itu lagi.
“ Kami ni dari Negeri Sembilan. Hendak
hantar anak gadis ni ke Kubang Kerian, Kelantan. Sambung belajar”, balas Puan
Lela lagi.
“ Eh, sama lah kita ye. Saya Puan Aisyah,
dari Selangor. Ini pula suami saya, Encik Azmi. Kami pun nak hantar anak lelaki
kami pergi belajar di Kelantan”, balas Puan Aisyah manakala suaminya hanya
tersenyum memandang Puan Lela sekeluarga.
“ Kamu datang dengan siapa? Jangan- jangan
anak kita belajar di tempat yang sama, tak?”, tanya Puan Aisyah.
“ Eh, maafkan saya ye. Lupa pula nak
kenalkan diri. Saya, Puan Lela. Yang ni adik lelaki saya, Encik Amri. Ayah dan
mak saya, Encik Ahmad dan Puan Hasmah. Yang ni pula, anak gadis saya, Dhieya.
Dia ni lah yang kami nak hantarkan, USM Kubang Kerian”, balas Puan Lela.
Puan Aisyah berasa teruja. Dia memandang
Dhieya yang sedang asyik menikmati hidangan tengah harinya. Puan Lela mencuit
bahu anak gadisnya. Dhieya memandang Puan Lela dan melemparkan senyuman kepada
Puan Aisyah.
“ Oh, ingatkan sama tadi. Anak saya belajar
di UMK, daftar minggu depan. Alang- alang tu, kami sekeluarga ingin berkunjung
ke kampung halaman, Kelantan”, balas Puan Aisyah.
Seketika kemudian, seorang remaja lelaki
mendekati Puan Aisyah dan Encik Azmi.
“ Ayah, mak. Siapa tu? Kenal ke?”, tanya
Firdaus kepada kedua dua ibu bapanya.
“ Kawan baru mak kamu. Mereka sekeluarga
pun nak pergi ke Kelantan untuk daftar anak gadis mereka”, balas Encik Azmi.
Firdaus menjeling ke arah gadis yang kini
sedang mengemas bekas bekalan mereka.
“ Kat mana? UMK juga ke?”, tanya Firdaus.
“ Tak lah, USM, Kubang Kerian”, balas Puan
Aisyah yang juga memandang Dhieya yang sedang berbual dengan ibunya.
“ Kami minta diri dulu ya”, kata Puan Lela
kepada Puan Aisyah sekeluarga.
Dhieya memandang Puan Aisyah sambil melemparkan
senyuman. Seorang remaja lelaki yang duduk di sebelah Puan Aisyah turut
tersenyum kepadanya. Dhieya tertunduk malu dan mempercepatkan langkahnya.
Siapa tahu, pertemuan yang sementara itu
bukan lah pertemuan yang terakhir buat mereka berdua.
Pejam celik sekejap rasanya masa berlalu.
Kini Dhieya sudah pun berada di tahun 3 pengajiannya. Tinggal satu tahun sahaja
lagi sebelum Dhieya menamatka pengajiannya sebagai seorang pelajar pra-ijazah.
Hari itu, Dhieya mengajak kawan baiknya
Suhaila untuk menemaninya pergi ke sebuah pasar raya yang terletak di Kota
Bharu. Niat di hatinya adalah untuk menghabiskan baucer buku yang diperolehnya
tiga minggu yang lalu.
“ Su, saya pergi kedai buku tu dulu ye.
Nanti awak tunggu saya dekat foodcourt” kata Dhieya kepada Suhaila.
Di kedai buku, Dhieya tertarik dengan
sebuah buku motivasi karya seorang penulis yang agak terkenal di Malaysia. Baru
sahaja Dhieya ingin mengambilnya, seorang pemuda telah pun mengambil buku itu
terlebih dahulu. Malangnya, buku itu hanya tinggal satu sahaja. Dhieya berasa
sangat ralat dan mengeluh perlahan. Kelakuannya diperhatikan pemuda itu.
“ Eh, awak pun nak buku ini juga ke?”,
tanya pemuda itu.
Dhieya memandang pemuda itu. Wajahnya
seperti pernah dilihat sebelum ini.
“ Aah,, tapi tak pelah. Tak ada rezeki saya
kot. Nanti saya cari di kedai buku yang lain”, balas Dhieya.
Pemuda itu memerhati Dhieya. Timbul suatu
perasaan yang dirinya pernah menemui gadis itu sebelum ini, namun dia tidak
tahu di mana.
“ Awak ambillah buku ni, biar saya yang
cari di kedai buku yang lain”, balas pemuda itu lagi.
Dia menghulurkan buku tersebut kepada
Dhieya sambil tersenyum.
“ Terima kasih”, balas Dhieya lalu
mengambil buku itu dan menuju ke kaunter pembayaran.
“ Siapa nama gadis itu ye? Muka macam familiar
je”, kata pemuda itu di dalam hati sambil memerhati Dhieya yang berlalu keluar
dari kedai buku itu.
Festival Kelestarian Islam (FESKI) sedang
berlangsung di USM, tempat Dhieya belajar. Antara program yang diadakan adalah
persembahan nasyid dari kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan dan Far East. Pihak
USM menjemput wakil daripada UMK untuk turut serta sebagai hadirin untuk
meraikan majlis. Firdaus juga turut hadir dalam program tersebut. Langsung
tidak terduga di hatinya bahawa dia akan terjumpa dengan Dhieya lagi.
“ Cantik juga mereka hias dewan ni kan
Daus?”, tanya Farid, kawannya.
“ Boleh tahanlah. Kau dahaga tak? Aku
nampak kat luar tadi ada orang jual minuman dan makanan ringan. Jom temankan
aku pergi beli”, jawab Firdaus.
“ Kak, dadih ni satu berapa?”, tanya Farid.
“ Satu seringgit. Nak perisa coklat ke
strawberi?”, tanya gadis itu. Ya, gadis itu ialah Dhieya.
“ Saya nak yang coklat tu. Daus, kau nak
tak dadih ni? Aku belanja”, kata Farid lalu mencuit bahu Daus yang sedang leka
memerhati gerai gerai lain di luar kawasan dewan itu.
Daus memalingkan wajahnya dan menghadap ke
arah Dhieya.
“ Eh, kamu!”, kata Dhieya.
“ Hi. Tak sangka dapat jumpa lagi. Awak dah
habis baca buku hari tu ke?’, tanya Firdaus.
“ Belum lagi. Sebagai tanda terima kasih
saya, saya belanja kamu dadih ni”, kata Dhieya sambil menghulurkan dadih
berperisa coklat dan strawberi kepada Firdaus.
“ Terima kasih”, balas Firdaus.
“ Dhieya, Mira panggil masuk dalam dewan.
Ada masalah teknikal sikit”, kata Aini, kawan sekelas Dhieya yang juga
merupakan AJK program tersebut.
Dhieya tersenyum sekilas kepada Firdaus dan
menuju ke dalam dewan.
“ Weh, kau kenal ke dia tu? Nama dia siapa?
Boleh tahan juga orangnya”, tanya Farid.
“Taklah, nama dia pun aku tak tahu. Cuma
aku terserempak dengan dia di kedai buku hari tu.Tapi muka dia macam pernah aku
nampaklah sebelum ni”, balas Firdaus. Mereka berdua pun masuk kembali ke dalam
dewan untuk menyaksikan persembahan nasyid yang telah pun bermula.
“ Dhieya..Dhieya.. Bangun, Dhieya!”, kata
Suhaila dengan cemas. Tubuh Dhieya yang berlumuran darah itu dirangkul erat
oleh Suhaila. Mereka berdua baru sahaja
selesai membeli belah di pasar raya Mydin yang terletak di hadapan universiti
mereka. Malangnya, sewaktu melintas jalan, sebuah kereta kancil memandu laju
dari arah bertentangan dan melanggar mereka. Kereta yang melanggar mereka
memecut laju untuk memboloskan diri. Sebuah kereta Myvi biru berhenti di tepi
jalan dan dua orang pemuda turun dari keretanya. Mereka menyaksikan setiap
perkara yang telah terjadi di hadapan mereka sebentar tadi.
“ Ya Allah!Awak?”, kata pemuda pertama.
Pemuda itu adalah Firdaus.
Mata Dhieya terasa sangat berat. Bayangan
Suhaila dan Firdaus hanya muncul seketika di kelopak matanya sebelum
segala-galanya menjadi gelap.
“ Dhieya, Dhieya! Alhamdulillah, awak dah
sedar”, kata Suhaila sambil memegang erat tangan sahabatnya itu.
Kepala Dhieya terasa berat sekali. Dia
memerhati keadaan sekeliling dengan pandangan yang masih lemah.
“ Aku di mana ni? Aduh, sakitnya kepala
aku!”, bisik Dhieya di dalam hati.
“ Suhaila, kawan awak tu dah sedar?”, tanya
Firdaus yang baru sahaja datang setelah selesai menunaikan solat Zuhur di surau
hospital itu.
Dhieya memandang ke arah Suhaila dan Firdaus.
Dia masih dalam kebingungan akan perkara yang telah terjadi pada dirinya itu.
“ Dhieya, ini Firdaus. Dia yang telah
membawa awak dan saya ke hospital selepas kemalangan itu. Pemilik kenderaan
yang telah melanggar kita semalam telah pun ditangkap polis”, ucap Suhaila.
Dhieya hanya mendengar setiap bait kata yang diucapkan Suhaila dengan senyap.
“ Waktu awak kena langgar, awak kehilangan
banyak darah. Malangnya, unit transfusi darah hospital sangat kekurangan darah
jenis B negatif. Dengan izin Allah, Firdaus memiliki jenis darah yang sama
dengan awak. Dia telah menyelamatkan nyawa awak, Dhieya”,sambung Suhaila.
Dhieya memandang Firdaus. Walaupun
kepalanya masih terasa sakit, wajah Firdaus seperti pernah dilihatnya sebelum
ini. Dhieya yakin, pertemuan pertama mereka bukan di kedai buku tempoh hari.
“ Terima kasih. Saya berhutang nyawa dengan
awak”, kata Dhieya.
“ Syukurlah awak selamat. Hari ni hari
awak, mungkin suatu hari nanti hari saya pula”, balas Firdaus sambil tersenyum.
Firdaus meminta izin untuk pulang ke universitinya. Dhieya pula masih termenung
memikirkan tentang perkara yang sedang berlaku.
“ Ummi nak jumpa dengan budak lelaki yang
telah selamatkan nyawa anak ummi ni. Dhieya tahu nombor telefon dia?”, tanya
Puan Lela.
Dhieya kini berada di rumahnya, di Negeri
Sembilan untuk berehat selama dua minggu sehingga dirinya berasa lebih baik.
“ Tak mi, Dhieya cuma tahu dia belajar di
UMK, nama dia Firdaus”, balas Dhieya.
“ Tak pe lah Dhieya, kalau ada jodoh nanti
mesti ummi dapat jumpa dia”, kata Puan Lela kepada anak gadisnya itu.
Sekepa sahaja masa berlalu. Dhieya kini
telah kembali sihat seperti dahulu. Walau bagaimana pun, dia masih sedikit
fobia untuk melintas jalan lagi. Dia tidak ingin perkara yang sma berulang
kembali kepada dirinya.
“ Dhieya, nak join bengkel “Anda Bijak
Jauhi Zina” tak?” tanya Suhaila.
“ Kat mana? Bila?”, tanya Dhieya.
“ Kat UMK. Pihak USM ada sediakan bas untuk
peserta yang ingin mengikuti program tersebut. Sebenarnya, aku dah bagi nama
hang sekali kat AJK tu. Tak pe kan?”, kata
Suhaila lagi.
“UMK? Ok, teringin juga nak pergi tengok
universiti lain”, balas Dhieya.
“ Ehem, tengok universiti ke nak cari
Firdaus?’, usik Suhaila.
“ Kau ni pun Suhaila, jangan nak lebih
lebih pula ye! Kita nak pergi tambah ilmu pengetahuan, bukan nak menggatal!”,
balas Dhieya sambil mencuit bahu Suhaila. Suhaila yang kegelian hanya tertawa
kecil.
“ Dhieya, jom duduk depan sekali nak?”,
ajak Suhaila.
“ Weh, tak naklah depan sangat! Kita ni kan
di tempat orang lain”, balas Dhieya.
Akhirnya, mereka berdua duduk di barisan
ketiga dari depan pentas. Tiba- tiba bahu Dhieya dicuit oleh seorang gadis yang
juga merupakan pelajar di universiti itu.
“ Assalamualaikum”, kata gadis itu.
“ Waalaikumussalam, ada apa ye?”, balas
Dhieya.
“ Ada orang suruh saya bagi buku ni pada
awak”, tambah gadis itu lagi sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal
berwarna ungu.
Lalu Dhieya menyambut huluran buku tersebut
dan membukanya.
Di halaman hadapan buku tersebut tertulis,
“ Inginku ketahui tentang dirimu dengan
lebih dalam dengan cara yang sepatutnya. Sebelum itu, izinkan aku merumuskan
perihal diri ini dalam seutas biodata diri yang tertulis dalam buku ini.
Andainya setelah dirimu membaca ringkasan diri ini dan hatimu berasa kurang
senang akan permintaan aku untuk mengenalimu, maka pulangkanlah buku ini tanpa
perlu menulis apa-apa. Seandainya engkau memilih untuk berkawan dengan
diriku,catatkanlah nombor telefon ibu bapamu di dalam buku ini. Aku ingin
meminta izin mereka terlebih dahulu untuk berkawan dengan kamu”, Dhieya membaca
setiap bait tulisan tersebut di dalam hati.
Pada mulanya,Dhieya berasa berat hati untuk
membalas kandungan buku tersebut. Namun, dia terhutang budi akan Firdaus yang
pernah menyelamatkan nyawanya. Dengan berat hati, Dhieya mencatat nombor
telefon Puan Lela. Dhieya memberitahu perihal tersebut kepada ibunya, Puan
Lela.
“Ummi, ingat lagi tak pemuda yang pernah
selamatkan Dhieya dulu? Firdaus?”, tanya Dhieya.
“ Kenapa dengan dia? Dhieya dah dapat
nombor telefon dia? Bolehlah ummi jemput dia dan keluarga makan malam”, balas
Puan Lela.
“ Dia ada bagi, tapi Dhieya tak salin pun.
Tapi ummi, dia minta nombor telefon ummi hari tu. Dhieya dah bagi padanya, ummi
tak marah kan?’, tanya Dhieya lagi.
“ Oh, baguslah kalau macam tu. Nanti kalau
dia telefon ummi, bolehlah ummi berterima kasih terus pada dia sebab dah
selamatkan nyawa anak ummi ni”, balas Puan Lela.
Kini, setahun sudah pun berlalu. Dhieya
hampir menamatkan pengajian sebagai seorang pelajar bioperubatan di
universitinya. Cerita mengenai Firdaus menyepi sejak Dhieya membalas kandungan
buku milik Firdaus dahulu. Pernah juga ditanya pada ibunya jika Firdaus pernah
menghubungi beliau namun tiada jawapan positif yang didengarinya.
Minggu terakhir di universiti, Puan Lela
datang menjemput Dhieya dan barang-barangnya. Namun, Puan Lela tidak datang
bersendirian tetapi beliau datang dengan sepasang suami isteri yang pernah
dilihatnya sebelum ini.
“ Dhieya, ingat mak cik lagi tak?”, tanya
wanita itu. Dhieya memandang ibunya dan menggeleng perlahan.
“ Puan Aisyah dan Encik Azmi. Kita pernah
berjumpa waktu Dhieya mula mula nak daftar universiti dulu”, kata Puan Aisyah.
“ Subhanallah, dunia ni kecil je kan, Puan
Lela. Tak sangka pertemuan kita empat tahun yang lalu sebenarnya ada hikmah
besar macam ni”, kata Puan Aisyah lagi. Dhieya memandang ibunya kehairanan.
Dhieya memandang kenderaan yang dinaiki ibunya dan sepasang suami isteri
tersebut. Ada seorang lagi pemuda yang belum keluar dari kenderaan itu.
Lagaknya persis seseorang yang pernah Dhieya kenali.
“ Firdaus, tolong ambilkan beg-beg Dhieya
ni. Kasihan dia, berat ni”, kata Puan Aisyah.
Dhieya berasa terkejut.
“ Apa yang Firdaus buat dengan ibunya di
sini? Pertemuan pada empat tahun lalu? “,bisik hati Dhieya. Ah, dia berasa
hairan sekali!
Puan Lela memeluk anak perempuannya dan
memandang Dhieya sambil tersenyum manis.
“ Dhieya, ingat lagi tak janji Dhieya pada
ummi dulu?”, tanya Puan Lela kepada anak gadisnya.
“ Janji yang mana satu ni ummi?”, tanya
Dhieya.
“ Yang Dhieya akan bersetuju akan pilihan
ummi untuk bakal suami Dhieya nanti?”, sambung Puan Lela. Pipi Dhieya merah
padam. Puan Aisyah memandang dirinya sambil tersenyum. Dia memandang Firdaus
sekilas. Firdaus juga tertunduk segan.
“Sebenarnya sayang, keluarga Firdaus datang
merisik Dhieya. Ummi langsung tidak menyangka orang yang telah menyelamatkan
Dhieya sebenarnya adalah anak Puan Aisyah dan Encik Azmi yang kita jumpa empat
tahun lalu. Hebat aturan Tuhan, Dhieya. Sebab tu, ummi bersetuju. Cara Firdaus
untuk menyunting hati anak dara ummi ni telah menyentuh hati ummi sayang”, kata
Puan Lela.
“ Sebab ummi sayang pada anak dara ummi ni,
ummi tak nak paksa Dhieya. Ini soal jodoh dan pilihan hidup Dhieya. Terpulang
pada Dhieya untuk membuat keputusan”, sambung Puan Lela lagi.
“ Dah, jom mula bergerak. Nanti lewat pula
kita sampai ke destinasi”, kata Encik Azmi.
Sepanjang perjalanan, Dhieya hanya berdiam
diri. Sekilas, dia memandang Firdaus yang sedang memandu kereta.
“ Kenapa pilih aku? Dia tak kenal aku dan
aku tak kenal dia. Macam mana ni?”, bisik hati Dhieya.
Puan Aisyah perasan akan perasaaan Dhieya
yang masih berbolak balik.
Dia memeluk Dhieya dan berbisik perlahan
kepadanya.
“ Istikharah,sayang. Dia lebih tahu perkara
yang terbaik untuk hambaNya. Dia jua yang memegang hati ini dan setiap perasaan
yang timbul dalam diri ini wujud dengan izinNya”, kata Puan Aisyah.
Tiga bulan telah berlalu. Dhieya dan
keluarga sedang sibuk mempersiapkan diri untuk hari bahagia Dhieya yang akan
berlangsung dua tiga hari lagi. Jawapan Firdaus tempoh hari masih
terngiang-ngiang di fikirannya dan membuat keputusan untuk menerima Firdaus
sebagai peneman hidupnya.
“ Kenapa awak tergesa-gesa nak kahwin
dengan saya? Awak tak kenal saya dan saya tak kenal awak Cuma saya sangat
berterima kasih pada awak sebab pernah selamatkan nyawa saya”, kata Dhieya
ketika mereka berhenti rehat di Gua Musang.
“ Sebab saya tak kenal awak. Sebab saya tak
tahu tentang awak. Sebab tu saya nak kahwin dengan awak”, balas Firdaus.
Dhieya pelik akan jawapan yang diberikan
Firdaus padanya. Dia mula berasa ingin marah kepada Firdaus.
“ Cinta dan kasih sayang wujud bila kita
kenal, kita tahu dan kita faham seseorang itu dengan ikhlas. Dan cinta yang
paling ohsem bagi saya ialah cinta yang halal. Sebab tu saya nak kahwin
dengan awak. Cinta yang halal cinta yang diberkati Tuhan. Dan redha Tuhan itu perlu
untuk sebuah perhubungan berkekalan, bukan? Jadi, beri saya peluang untuk
mulakan cinta itu”, kata Firdaus lagi.
Muka Dhieya merah padam dengan jawapan yang
diberikan Firdaus. Dan disebabkan jawapan itu juga, Dhieya yakin akan pilihan
hatinya itu.
Sebuah pertemuan yang tidak pernah
dirancang manusia. Sebuah aturan indah oleh Sang Pencipta.
“Alhamdulillah”, bisik hati Dhieya.
Tamat.