Thursday, July 28, 2016

Sebuah pertemuan

“ Ummi, surat tawaran kemasukan ke Universiti Sains Malaysia dah sampai”, kata Dhieya kepada Puan Lela, sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih.
Puan Lela mengambil sampul surat itu dan menatapnya dengan penuh rasa kesyukuran. Dhieya, anak gadis sulungnya bakal menjejakkan kaki ke dunia yang baru. Segala kepenatan dan kesukaran Puan Lela dalam membesarkan tiga anak gadisnya sebagai seorang ibu tunggal terbayar setiap kali anak-anak gadisnya berjaya dalam pelajaran. Air mata yang hampir tertumpah ditahan sekuat mungkin. Dia tidak boleh menangis di hadapan Dhieya. Ini baru permulaan!
“ Ummi, kenapa ummi termenung tengok surat tu?”, tanya Dhieya yang berasa hairan akan kelakuan ibunya. Namun, jauh di sudut hatinya, Dhieya tahu ibunya gembira akan dirinya yang bakal menjadi seorang pelajar di salah sebuah universiti yang terbaik di Malaysia.
Puan Lela memandang Dhieya dan melemparkan sebuah senyuman yang paling manis buat anak gadisnya.
“ Ummi rasa berdebar-debarlah nak buka surat ni. Along bukakanlah, ummi nak ambil cermin mata ummi dulu”, balas Puan Lela dan menuju ke bilik tidur mereka. Dalam setiap langkahnya, Puan Lela menyeka air mata yang tumpah di pipinya. “ Alhamdulillah”, ucapnya di dalam hati.
Dhieya menunggu ibunya kembali untuk membaca surat tawaran itu bersama.
“ Ummi, along kena daftar diri pada 15 September 2010 ni”, kata Dhieya.
“ Kos apa along? Berapa tahun?”, tanya Puan Lela.
“ Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Bioperubatan, kos 4 tahun ummi”, balas Dhieya.
“ Bioperubatan? Kos tu tentang apa? Kubang Kerian, Kelantan? Jauhnya dari Negeri Sembilan”, seribu satu persoalan muncul di benak hati Dhieya. Dia sudah mula berasa risau kerana terpaksa berjauhan dengan ibu dan adik-adiknya. Tanpa dia sedari, surat tawaran itu merupakan titik awal kepada sebuah pertemuan yang tidak akan pernah dilupakan buat selama-lamanya.

Tanggal 13 September 2010, Dhieya dan keluarga bertolak ke Kubang Kerian, Kelantan. Dalam perjalanan, Dhieya dan keluarganya berhenti makan, solat dan berehat di sebuah masjid yang terletak di Terengganu.  Selesai menunaikan solat jamak, mereka pun menikmati makanan tengah hari yang telah dibawa dari rumah di perkarangan masjid itu.
Sewaktu mereka sedang makan dan berehat, Dhieya sekeluarga disapa oleh sebuah keluarga yang juga berhenti rehat di masjid tersebut.
“ Assalamualaikum”, sapa seorang perempuan yang berusia lingkungan 40-an itu.
“ Waalaikumussalam”, balas Puan Lela sambil tersenyum.
“ Kamu sekeluarga ni dari mana nak ke mana?’, tegur wanita itu lagi.
“ Kami ni dari Negeri Sembilan. Hendak hantar anak gadis ni ke Kubang Kerian, Kelantan. Sambung belajar”, balas Puan Lela lagi.
“ Eh, sama lah kita ye. Saya Puan Aisyah, dari Selangor. Ini pula suami saya, Encik Azmi. Kami pun nak hantar anak lelaki kami pergi belajar di Kelantan”, balas Puan Aisyah manakala suaminya hanya tersenyum memandang Puan Lela sekeluarga.
“ Kamu datang dengan siapa? Jangan- jangan anak kita belajar di tempat yang sama, tak?”, tanya Puan Aisyah.
“ Eh, maafkan saya ye. Lupa pula nak kenalkan diri. Saya, Puan Lela. Yang ni adik lelaki saya, Encik Amri. Ayah dan mak saya, Encik Ahmad dan Puan Hasmah. Yang ni pula, anak gadis saya, Dhieya. Dia ni lah yang kami nak hantarkan, USM Kubang Kerian”, balas Puan Lela.
Puan Aisyah berasa teruja. Dia memandang Dhieya yang sedang asyik menikmati hidangan tengah harinya. Puan Lela mencuit bahu anak gadisnya. Dhieya memandang Puan Lela dan melemparkan senyuman kepada Puan Aisyah.
“ Oh, ingatkan sama tadi. Anak saya belajar di UMK, daftar minggu depan. Alang- alang tu, kami sekeluarga ingin berkunjung ke kampung halaman, Kelantan”, balas Puan Aisyah.
Seketika kemudian, seorang remaja lelaki mendekati Puan Aisyah dan Encik Azmi.
“ Ayah, mak. Siapa tu? Kenal ke?”, tanya Firdaus kepada kedua dua ibu bapanya.
“ Kawan baru mak kamu. Mereka sekeluarga pun nak pergi ke Kelantan untuk daftar anak gadis mereka”, balas Encik Azmi.
Firdaus menjeling ke arah gadis yang kini sedang mengemas bekas bekalan mereka.
“ Kat mana? UMK juga ke?”, tanya Firdaus.
“ Tak lah, USM, Kubang Kerian”, balas Puan Aisyah yang juga memandang Dhieya yang sedang berbual dengan ibunya.
“ Kami minta diri dulu ya”, kata Puan Lela kepada Puan Aisyah sekeluarga.
Dhieya memandang Puan Aisyah sambil melemparkan senyuman. Seorang remaja lelaki yang duduk di sebelah Puan Aisyah turut tersenyum kepadanya. Dhieya tertunduk malu dan mempercepatkan langkahnya.
Siapa tahu, pertemuan yang sementara itu bukan lah pertemuan yang terakhir buat mereka berdua.
Pejam celik sekejap rasanya masa berlalu. Kini Dhieya sudah pun berada di tahun 3 pengajiannya. Tinggal satu tahun sahaja lagi sebelum Dhieya menamatka pengajiannya sebagai seorang pelajar pra-ijazah.
Hari itu, Dhieya mengajak kawan baiknya Suhaila untuk menemaninya pergi ke sebuah pasar raya yang terletak di Kota Bharu. Niat di hatinya adalah untuk menghabiskan baucer buku yang diperolehnya tiga minggu yang lalu.
“ Su, saya pergi kedai buku tu dulu ye. Nanti awak tunggu saya dekat foodcourt” kata Dhieya kepada Suhaila.
Di kedai buku, Dhieya tertarik dengan sebuah buku motivasi karya seorang penulis yang agak terkenal di Malaysia. Baru sahaja Dhieya ingin mengambilnya, seorang pemuda telah pun mengambil buku itu terlebih dahulu. Malangnya, buku itu hanya tinggal satu sahaja. Dhieya berasa sangat ralat dan mengeluh perlahan. Kelakuannya diperhatikan pemuda itu.
“ Eh, awak pun nak buku ini juga ke?”, tanya pemuda itu.
Dhieya memandang pemuda itu. Wajahnya seperti pernah dilihat sebelum ini.
“ Aah,, tapi tak pelah. Tak ada rezeki saya kot. Nanti saya cari di kedai buku yang lain”, balas Dhieya.
Pemuda itu memerhati Dhieya. Timbul suatu perasaan yang dirinya pernah menemui gadis itu sebelum ini, namun dia tidak tahu di mana.
“ Awak ambillah buku ni, biar saya yang cari di kedai buku yang lain”, balas pemuda itu lagi.
Dia menghulurkan buku tersebut kepada Dhieya sambil tersenyum.
“ Terima kasih”, balas Dhieya lalu mengambil buku itu dan menuju ke kaunter pembayaran.
“ Siapa nama gadis itu ye? Muka macam familiar je”, kata pemuda itu di dalam hati sambil memerhati Dhieya yang berlalu keluar dari kedai buku itu.
Festival Kelestarian Islam (FESKI) sedang berlangsung di USM, tempat Dhieya belajar. Antara program yang diadakan adalah persembahan nasyid dari kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan dan Far East. Pihak USM menjemput wakil daripada UMK untuk turut serta sebagai hadirin untuk meraikan majlis. Firdaus juga turut hadir dalam program tersebut. Langsung tidak terduga di hatinya bahawa dia akan terjumpa dengan Dhieya lagi.
“ Cantik juga mereka hias dewan ni kan Daus?”, tanya Farid, kawannya.
“ Boleh tahanlah. Kau dahaga tak? Aku nampak kat luar tadi ada orang jual minuman dan makanan ringan. Jom temankan aku pergi beli”, jawab Firdaus.
“ Kak, dadih ni satu berapa?”, tanya Farid.
“ Satu seringgit. Nak perisa coklat ke strawberi?”, tanya gadis itu. Ya, gadis itu ialah Dhieya.
“ Saya nak yang coklat tu. Daus, kau nak tak dadih ni? Aku belanja”, kata Farid lalu mencuit bahu Daus yang sedang leka memerhati gerai gerai lain di luar kawasan dewan itu.
Daus memalingkan wajahnya dan menghadap ke arah Dhieya.
“ Eh, kamu!”, kata Dhieya.
“ Hi. Tak sangka dapat jumpa lagi. Awak dah habis baca buku hari tu ke?’, tanya Firdaus.
“ Belum lagi. Sebagai tanda terima kasih saya, saya belanja kamu dadih ni”, kata Dhieya sambil menghulurkan dadih berperisa coklat dan strawberi kepada Firdaus.
“ Terima kasih”, balas Firdaus.
“ Dhieya, Mira panggil masuk dalam dewan. Ada masalah teknikal sikit”, kata Aini, kawan sekelas Dhieya yang juga merupakan AJK program tersebut.
Dhieya tersenyum sekilas kepada Firdaus dan menuju ke dalam dewan.
“ Weh, kau kenal ke dia tu? Nama dia siapa? Boleh tahan juga orangnya”, tanya Farid.
“Taklah, nama dia pun aku tak tahu. Cuma aku terserempak dengan dia di kedai buku hari tu.Tapi muka dia macam pernah aku nampaklah sebelum ni”, balas Firdaus. Mereka berdua pun masuk kembali ke dalam dewan untuk menyaksikan persembahan nasyid yang telah pun bermula.
“ Dhieya..Dhieya.. Bangun, Dhieya!”, kata Suhaila dengan cemas. Tubuh Dhieya yang berlumuran darah itu dirangkul erat oleh Suhaila.  Mereka berdua baru sahaja selesai membeli belah di pasar raya Mydin yang terletak di hadapan universiti mereka. Malangnya, sewaktu melintas jalan, sebuah kereta kancil memandu laju dari arah bertentangan dan melanggar mereka. Kereta yang melanggar mereka memecut laju untuk memboloskan diri. Sebuah kereta Myvi biru berhenti di tepi jalan dan dua orang pemuda turun dari keretanya. Mereka menyaksikan setiap perkara yang telah terjadi di hadapan mereka sebentar tadi.
“ Ya Allah!Awak?”, kata pemuda pertama. Pemuda itu adalah Firdaus.
Mata Dhieya terasa sangat berat. Bayangan Suhaila dan Firdaus hanya muncul seketika di kelopak matanya sebelum segala-galanya menjadi gelap.
“ Dhieya, Dhieya! Alhamdulillah, awak dah sedar”, kata Suhaila sambil memegang erat tangan sahabatnya itu.
Kepala Dhieya terasa berat sekali. Dia memerhati keadaan sekeliling dengan pandangan yang masih lemah.
“ Aku di mana ni? Aduh, sakitnya kepala aku!”, bisik Dhieya di dalam hati.
“ Suhaila, kawan awak tu dah sedar?”, tanya Firdaus yang baru sahaja datang setelah selesai menunaikan solat Zuhur di surau hospital itu.
Dhieya memandang ke arah Suhaila dan Firdaus. Dia masih dalam kebingungan akan perkara yang telah terjadi pada dirinya itu.
“ Dhieya, ini Firdaus. Dia yang telah membawa awak dan saya ke hospital selepas kemalangan itu. Pemilik kenderaan yang telah melanggar kita semalam telah pun ditangkap polis”, ucap Suhaila. Dhieya hanya mendengar setiap bait kata yang diucapkan Suhaila dengan senyap.
“ Waktu awak kena langgar, awak kehilangan banyak darah. Malangnya, unit transfusi darah hospital sangat kekurangan darah jenis B negatif. Dengan izin Allah, Firdaus memiliki jenis darah yang sama dengan awak. Dia telah menyelamatkan nyawa awak, Dhieya”,sambung Suhaila.
Dhieya memandang Firdaus. Walaupun kepalanya masih terasa sakit, wajah Firdaus seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Dhieya yakin, pertemuan pertama mereka bukan di kedai buku tempoh hari.
“ Terima kasih. Saya berhutang nyawa dengan awak”, kata Dhieya.
“ Syukurlah awak selamat. Hari ni hari awak, mungkin suatu hari nanti hari saya pula”, balas Firdaus sambil tersenyum. Firdaus meminta izin untuk pulang ke universitinya. Dhieya pula masih termenung memikirkan tentang perkara yang sedang berlaku.
“ Ummi nak jumpa dengan budak lelaki yang telah selamatkan nyawa anak ummi ni. Dhieya tahu nombor telefon dia?”, tanya Puan Lela.
Dhieya kini berada di rumahnya, di Negeri Sembilan untuk berehat selama dua minggu sehingga dirinya berasa lebih baik.
“ Tak mi, Dhieya cuma tahu dia belajar di UMK, nama dia Firdaus”, balas Dhieya.
“ Tak pe lah Dhieya, kalau ada jodoh nanti mesti ummi dapat jumpa dia”, kata Puan Lela kepada anak gadisnya itu.
Sekepa sahaja masa berlalu. Dhieya kini telah kembali sihat seperti dahulu. Walau bagaimana pun, dia masih sedikit fobia untuk melintas jalan lagi. Dia tidak ingin perkara yang sma berulang kembali kepada dirinya.
“ Dhieya, nak join bengkel “Anda Bijak Jauhi Zina” tak?” tanya Suhaila.
“ Kat mana? Bila?”, tanya Dhieya.
“ Kat UMK. Pihak USM ada sediakan bas untuk peserta yang ingin mengikuti program tersebut. Sebenarnya, aku dah bagi nama hang sekali kat AJK tu.  Tak pe kan?”, kata Suhaila lagi.
“UMK? Ok, teringin juga nak pergi tengok universiti lain”, balas Dhieya.
“ Ehem, tengok universiti ke nak cari Firdaus?’, usik Suhaila.
“ Kau ni pun Suhaila, jangan nak lebih lebih pula ye! Kita nak pergi tambah ilmu pengetahuan, bukan nak menggatal!”, balas Dhieya sambil mencuit bahu Suhaila. Suhaila yang kegelian hanya tertawa kecil.
“ Dhieya, jom duduk depan sekali nak?”, ajak Suhaila.
“ Weh, tak naklah depan sangat! Kita ni kan di tempat orang lain”, balas Dhieya.
Akhirnya, mereka berdua duduk di barisan ketiga dari depan pentas. Tiba- tiba bahu Dhieya dicuit oleh seorang gadis yang juga merupakan pelajar di universiti itu.
“ Assalamualaikum”, kata gadis itu.
“ Waalaikumussalam, ada apa ye?”, balas Dhieya.
“ Ada orang suruh saya bagi buku ni pada awak”, tambah gadis itu lagi sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal berwarna ungu.
Lalu Dhieya menyambut huluran buku tersebut dan membukanya.
Di halaman hadapan buku tersebut tertulis,
“ Inginku ketahui tentang dirimu dengan lebih dalam dengan cara yang sepatutnya. Sebelum itu, izinkan aku merumuskan perihal diri ini dalam seutas biodata diri yang tertulis dalam buku ini. Andainya setelah dirimu membaca ringkasan diri ini dan hatimu berasa kurang senang akan permintaan aku untuk mengenalimu, maka pulangkanlah buku ini tanpa perlu menulis apa-apa. Seandainya engkau memilih untuk berkawan dengan diriku,catatkanlah nombor telefon ibu bapamu di dalam buku ini. Aku ingin meminta izin mereka terlebih dahulu untuk berkawan dengan kamu”, Dhieya membaca setiap bait tulisan tersebut di dalam hati.
Pada mulanya,Dhieya berasa berat hati untuk membalas kandungan buku tersebut. Namun, dia terhutang budi akan Firdaus yang pernah menyelamatkan nyawanya. Dengan berat hati, Dhieya mencatat nombor telefon Puan Lela. Dhieya memberitahu perihal tersebut kepada ibunya, Puan Lela.
“Ummi, ingat lagi tak pemuda yang pernah selamatkan Dhieya dulu? Firdaus?”, tanya Dhieya.
“ Kenapa dengan dia? Dhieya dah dapat nombor telefon dia? Bolehlah ummi jemput dia dan keluarga makan malam”, balas Puan Lela.
“ Dia ada bagi, tapi Dhieya tak salin pun. Tapi ummi, dia minta nombor telefon ummi hari tu. Dhieya dah bagi padanya, ummi tak marah kan?’, tanya Dhieya lagi.
“ Oh, baguslah kalau macam tu. Nanti kalau dia telefon ummi, bolehlah ummi berterima kasih terus pada dia sebab dah selamatkan nyawa anak ummi ni”, balas Puan Lela.
Kini, setahun sudah pun berlalu. Dhieya hampir menamatkan pengajian sebagai seorang pelajar bioperubatan di universitinya. Cerita mengenai Firdaus menyepi sejak Dhieya membalas kandungan buku milik Firdaus dahulu. Pernah juga ditanya pada ibunya jika Firdaus pernah menghubungi beliau namun tiada jawapan positif yang didengarinya.
Minggu terakhir di universiti, Puan Lela datang menjemput Dhieya dan barang-barangnya. Namun, Puan Lela tidak datang bersendirian tetapi beliau datang dengan sepasang suami isteri yang pernah dilihatnya sebelum ini.
“ Dhieya, ingat mak cik lagi tak?”, tanya wanita itu. Dhieya memandang ibunya dan menggeleng perlahan.
“ Puan Aisyah dan Encik Azmi. Kita pernah berjumpa waktu Dhieya mula mula nak daftar universiti dulu”, kata Puan Aisyah.
“ Subhanallah, dunia ni kecil je kan, Puan Lela. Tak sangka pertemuan kita empat tahun yang lalu sebenarnya ada hikmah besar macam ni”, kata Puan Aisyah lagi. Dhieya memandang ibunya kehairanan. Dhieya memandang kenderaan yang dinaiki ibunya dan sepasang suami isteri tersebut. Ada seorang lagi pemuda yang belum keluar dari kenderaan itu. Lagaknya persis seseorang yang pernah Dhieya kenali.
“ Firdaus, tolong ambilkan beg-beg Dhieya ni. Kasihan dia, berat ni”, kata Puan Aisyah.
Dhieya berasa terkejut.
“ Apa yang Firdaus buat dengan ibunya di sini? Pertemuan pada empat tahun lalu? “,bisik hati Dhieya. Ah, dia berasa hairan sekali!
Puan Lela memeluk anak perempuannya dan memandang Dhieya sambil tersenyum manis.
“ Dhieya, ingat lagi tak janji Dhieya pada ummi dulu?”, tanya Puan Lela kepada anak gadisnya.
“ Janji yang mana satu ni ummi?”, tanya Dhieya.
“ Yang Dhieya akan bersetuju akan pilihan ummi untuk bakal suami Dhieya nanti?”, sambung Puan Lela. Pipi Dhieya merah padam. Puan Aisyah memandang dirinya sambil tersenyum. Dia memandang Firdaus sekilas. Firdaus juga tertunduk segan.
“Sebenarnya sayang, keluarga Firdaus datang merisik Dhieya. Ummi langsung tidak menyangka orang yang telah menyelamatkan Dhieya sebenarnya adalah anak Puan Aisyah dan Encik Azmi yang kita jumpa empat tahun lalu. Hebat aturan Tuhan, Dhieya. Sebab tu, ummi bersetuju. Cara Firdaus untuk menyunting hati anak dara ummi ni telah menyentuh hati ummi sayang”, kata Puan Lela.
“ Sebab ummi sayang pada anak dara ummi ni, ummi tak nak paksa Dhieya. Ini soal jodoh dan pilihan hidup Dhieya. Terpulang pada Dhieya untuk membuat keputusan”, sambung Puan Lela lagi.
“ Dah, jom mula bergerak. Nanti lewat pula kita sampai ke destinasi”, kata Encik Azmi.
Sepanjang perjalanan, Dhieya hanya berdiam diri. Sekilas, dia memandang Firdaus yang sedang memandu kereta.
“ Kenapa pilih aku? Dia tak kenal aku dan aku tak kenal dia. Macam mana ni?”, bisik hati Dhieya.
Puan Aisyah perasan akan perasaaan Dhieya yang masih berbolak balik.
Dia memeluk Dhieya dan berbisik perlahan kepadanya.
“ Istikharah,sayang. Dia lebih tahu perkara yang terbaik untuk hambaNya. Dia jua yang memegang hati ini dan setiap perasaan yang timbul dalam diri ini wujud dengan izinNya”, kata Puan Aisyah.
Tiga bulan telah berlalu. Dhieya dan keluarga sedang sibuk mempersiapkan diri untuk hari bahagia Dhieya yang akan berlangsung dua tiga hari lagi. Jawapan Firdaus tempoh hari masih terngiang-ngiang di fikirannya dan membuat keputusan untuk menerima Firdaus sebagai peneman hidupnya.
“ Kenapa awak tergesa-gesa nak kahwin dengan saya? Awak tak kenal saya dan saya tak kenal awak Cuma saya sangat berterima kasih pada awak sebab pernah selamatkan nyawa saya”, kata Dhieya ketika mereka berhenti rehat di Gua Musang.
“ Sebab saya tak kenal awak. Sebab saya tak tahu tentang awak. Sebab tu saya nak kahwin dengan awak”, balas Firdaus.
Dhieya pelik akan jawapan yang diberikan Firdaus padanya. Dia mula berasa ingin marah kepada Firdaus.
“ Cinta dan kasih sayang wujud bila kita kenal, kita tahu dan kita faham seseorang itu dengan ikhlas. Dan cinta yang paling ohsem bagi saya ialah cinta yang halal. Sebab tu saya nak kahwin dengan awak. Cinta yang halal cinta yang diberkati Tuhan. Dan redha Tuhan itu perlu untuk sebuah perhubungan berkekalan, bukan? Jadi, beri saya peluang untuk mulakan cinta itu”, kata Firdaus lagi.
Muka Dhieya merah padam dengan jawapan yang diberikan Firdaus. Dan disebabkan jawapan itu juga, Dhieya yakin akan pilihan hatinya itu.
Sebuah pertemuan yang tidak pernah dirancang manusia. Sebuah aturan indah oleh Sang Pencipta.
“Alhamdulillah”, bisik hati Dhieya.
Tamat.













No comments:

Post a Comment