Thursday, July 28, 2016

Cerpen: Kerana Sulaman Impian
Oleh:  Dhieyaharuhi

“Kring..kring..”, telefon bimbit berbunyi nyaring mengejutkan Nadia dari tidur dan mimpi yang indah. Dengan mata yang masih separa terbuka, tangannya meraba raba telefon bimbit yang terletak di tepi katil.
“Hello! Sape ni?”, tanya Nadia mamai.
“ Ah, sudah! Cik Ya, hang tahu dak la ni sudah pukul berapa? Hang jangan nak buat kalut!”, balas Diana bimbang.
Nadia mematikan telefon bimbitnya. Dalam keadaan yang masih kepisatan, dia memandang jam yang tertera di skrin telefon pintarnya.  Jam sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi. Nadia bingkas bangun dari tempat tidurnya. Hatinya sudah mula berasa gelisah. Sepatutnya, pada hari ini dia akan menduduki ujian  mikrobiologi asas di universiti tepat jam 9.00 pagi. Walaupun jam di set pada pukul 7.00 pagi, kerana asyik mengulangkaji pelajaran pada malamnya, Nadia masuk tidur agak lewat semalam.
Dia lantas menuju ke bilik air dengan tergesa-gesa. Malang tidak berbau, dia tergelincir di dalam bilik airnya gara-gara terpijak sabun mandi.
“Mak!” jerit Nadia kesakitan. Dia cuba bangun namun tidak berdaya. Kakinya terasa sakit sekali.  Diri dipaksa untuk kuat dan menahan sakit yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Nadia menukar baju baru dan menyapu minyak angin di kakinya yang sakit. Dengan jalan yang terhinjut-hinjut, Nadia menuju ke kelasnya. Walaupun setiap langkah kaki yang diatur diringkan dengan kesakitan kaki yang semakin bengkak, hati kecilnya tidak putus putus berdoa semoga dirinya sempat menjawab ujian sebentar lagi.
Nurul Nadia binti Abdullah, seorang pelajar bioperubatan tahun tiga di Universiti Sains Malaysia, salah satu universiti yang terbaik di Malaysia. Di sebalik identiti seorang siswi, Nadia merupakan anak sulung dari tiga orang adik beradik. Ibunya, Puan Jamilah Binti Rahman ialah seorang ibu tunggal yang berkerja sebagai seorang guru taski di Negeri Sembilan. Ayahnya, Encik Abdullah Bin Ahmad pula ialah seorang pesara tentera. Dia kini menetap bersama keluarga barunya, juga di Negeri Sembilan. Puan Jamilah membesarkan Nadia dan dua lagi adik perempuannya seorang diri. Berkat kudrat empat kerat dan keringat yang dikeluarkan Puan Jamilah, Nadia dan adiknya Nasha kini telah berjaya menjejakkan kaki ke alam universiti.
Di sebalik wajah Nadia yang sentiasa menguntumkan senyuman dan seri di wajahnya, tertanam satu impian dan hasrat yang terukir teguh di hati kecil gadis itu.
“ Nanti Cik Ya belikan mak sebuah rumah”.
“Nanti Cik Ya bawa mak dengan adik-adik pergi melancong”.
“Nanti Cik Ya bawa mak pergi makan yang sedap-sedap!”.
Ya, itu adalah hasrat gadis itu. Hasrat yang ingin sekali ditunaikan dan dilaksanakan walau terpaksa menempuh duri ujian dan cabaran. Hatinya sakit setiap kali menatap wajah letih ibunya yang semakin berusia. Dia tidak ingin lagi ibunya bersusah payah demi dirinya dan adik-adiknya. Sebagai seorang anak sulung, ini adalah tanggungjawabnya. Tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarganya!
“ Maaf Dr Amy. Saya terlewat”, kata Nadia  kepada pensyarahnya sejurus melangkah masuk ke kelas. Kawan-kawannya yang lain telah pun mula menjawab kertas ujian.
“ Tak pelah Nadia. Kenapa dengan kaki awak?”, tanya Dr Amy setelah melihat gaya jalan Nadia yang terhingut-hingut.
“ Saya terseliuh sikit tadi”, balas Nadia ringkas dan terus membuka kertas soalan ujian. Dengan lafaz bismillah, dia menjawab soalan ujian dengan sedaya upaya.
Selesai ujian, Diana menghampiri Nadia. Diana mengamati wajah Nadia yang tampak pucat seperti sedang menahan sakit.
“Cik Ya, hang ni ok ke? Awat pucat lesi muka? Tak sihat ka?”, tanya Diana.
Nadia menunjukkan kakinya yang terseliuh.
“ Ya Allah! Bengkak teruk ni! La ni jugak hang kena ikut cheq pi klinik!”, kata Diana lantas terus memapah kawannya menuju ke klinik rawatan keluarga (KRK), HUSM. Mujurlah kelas selepas subjek mikrobiologi tadi ditangguhkan gara-gara pensyarah outstation. Kalau tidak, pasti sukar Diana untuk memujuk temannya itu ke klinik.
“ Bengkak teruk ni. Awak terpaksa berehat di bilik. Saya akan keluarkan MC”, kata Dr Asma kepada Nadia.
Sejurus keluar dari bilik Doktor, Diana memandang Nadia. Entah kenapa seakan ada sesuatu yang disembunyikan temannya itu akhir-akhir ini.
Dalam perjalanan mereka ke desasiswa, kedua-duanya hanya berdiam tanpa bicara. Sekilas, Nadia memandang Diana dan sebaliknya.
“Cik Ya, cheq nak tanya sikit boleh naa?”, tanya Diana memecahkan suasana sepi antara dua gadis itu.
Nadia memandang Diana dan menguntumkan sebuah senyuman.
“ Awatnya akhir-akhir ni cek tengok Cik Ya macam lain? Cik Ya ada nak kongsi apa-apa dengan cheq ka? Ceritalah, cek sudi dengaq”, kata Diana lagi menampakkan iras wajah yang bersungguh-sungguh sambil memandang Nadia.
“ Ish, awatnya cik Diana kita ni? Tetiba je?”, balas Nadia. Jauh di sudut hati Nadia, dia sedikit tersentuh. Diana boleh menghidu sudut hatinya yang sedang menangis sendirian. Jujur, ada perkara yang menganggu fikirannya. Namun, berat sekali baginya untuk berkongsi kisah hatinya kepada orang lain walaupun teman baiknya, Diana. Baginya, biarlah perkara itu menjadi rahsia buat dirinya dan Sang Pencipta.
“ Nadia? Laa, awatnya hang pi termenung pulak ni? Dah lah tak nak jawab soalan cheq”, kata Diana lagi sambil berpura-pura merajuk.
“ Jangan risaulah, Cik Ya ok je. Diana jangan fikir yang bukan-bukan ye!”, balas Nadia lantas mengucapkan selamat tinggal kepada kawan baiknya itu. Pintu bilik dikuak perlahan dan Nadia menuju ke arah katilnya yang masih berselerak, gara-gara tidak sempat dikemasnya pagi tadi.  Dengan berhati-hati, Nadia mengangkat kakinya yang telah pun dibalut kemas dan baring di atas katil. Tanpa rela, air matanya tumpah lagi.
Sudah tiga hari Nadia asyik menangis. Bersusah payah barulah hatinya dapat memujuk diri untuk membuat ulang kaji pelajaran.
“ Along, mak demam teruk. Badan mak panas”, kata Nurul, anak bongsu Puan Jamilah pada tiga hari lepas.
“ Adik tak paksa mak pergi klinik ke?”, tanya Nadia.
“ Macamlah Cik Ya tak tahu mak tu macam mana. Dah puas adik pujuk, mak degil. Mak cakap ubat demam yang lama tu ada lagi”, balas Nurul.
Hati Nadia bimbang. Seandainya saja Kelantan dan Negeri Sembilan itu dekat sudah pasti dibawa diri kerdilnya itu sampai di rumah. Rindu menggunung di benak hatinya.
“Aku ingin balik!”, jerit Nadia di dalam hatinya.
“Adik, bagi telefon ni kat mak. Cik Ya nak cakap dengan mak”, pinta Nadia.
“ Salam, mak. Adik bagitahu Cik Ya, mak tak nak pergi klinik ye?”, tanya Nadia. Dia menahan sebak. Wajah tua ibunya yang sarat dengan kepayahan dan keperitan menyara kehidupan mereka berlegar-legar di mindanya.
“ Uhuk..uhuk.. Apalah adik ni, bagitahu Cik Ya pula. Jangan risau, mak sakit sikit je ni. Esok baiklah. Ubat demam dalam peti sejuk tu ada lagi”, balas Puan Jamilah dengan nada suara yang sangat lemah.
Hati Nadiah bagai dicucuk duri. Pedih dan berdarah.
“Allah!”, jerit hati Nadia lagi.
“ Mak, jangan degil ye. Esok mak pergi klinik dengan adik. Biar doktor tu check. Mak janji dengan Cik Ya ye!”, pujuk Nadia.
Talian dimatikan. Sejak malam itu, mudah sekali sungai air matanya tumpah. Di usia yang hampir menjangkau 50 tahun, Puan Jamilah masih bertungkus lumus mencari rezeki untuk menyara mereka sekeluarga. Bukan setakat deman, segala bentuk kesakitan yang dirasainya ditelan dan ditahan sendirian. Setiap kali Nadia teringat ini, hatinya sakit sekali. Allah, besarnya pengorbanan seorang insan mulia bernama ibu!
“Kring..kring..”, bunyi nyaring telefon bimbit mematikan lamunan Nadia.
“Salam Cik Ya. Cik Ya ok ke? Hati mak ni gelisah je, teringat kat anak-anak mak”, kata Puan Jamalia.
Dari nada suara Puan Jamalia, hati Nadia menjadi lega. Berbeza dengan suara yang didengarinya tiga hari lepas, suara ibunya lebih bertenaga.
“ Mak sihat?”, tanya Nadia.
“ Alhamdulillah Cik Ya. Berkat doa anak-anak mak, Allah kembalikan kesihatan mak. Cik Ya jangan risau. Hari ni ada ujian kan? Macam mana, ok tak?”, tanya Puan Jamalia.
Nadia tersenyum, walaupun dirinya tahu ibunya tidak dapat melihat senyuman manisnya tika itu.
“ Macam biasalah mak. Cik Ya goreng sampai hangus! Hahaha”, seloroh Nadia. Dia dapat mendengar ibunya turut ketawa. Saat itu, ketawa ibunya adalah ubat paling mujarab buat semua kesakitan yang dirasakannya. Hatinya tidak behenti bersyukur kepada Yang Maha Penyayang sepanjang perbualan dengan ibunya, Puan Jamalia.
Pejam celik, pantas sungguh masa berlalu. Hari ini merupakan hari konvokesyennya di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia, merangkap upacara rasmi tamat pengajiannya dan bergelar seorang graduan. Tidak pernah dinafikan, sepanjang bergelar pelajar tahun akhir, banyak sekali dirinya hampir untuk berputus asa. Kesibukan dalam menyiapkan projek tahun akhir, menghadiri biopraktikum dan kuliah pada masa yang sama sangat mencabar dirinya.
“ Mak, Cik Ya tak larat lah. Banyak sangat kerja yang nak disiapkan pada satu masa. Penatnya mak”, keluh Nadia pada ibunya.
“ Biasalah tu Cik Ya. Bukan senang nak senang kan?”, pujuk Puan Jamalia. Nadia masih setia menanti bait nasihat ibunya lagi.
“ Kita sama-sama penat ye. Mak buat yang terbaik untuk mencari rezeki dan mak harap Cik Ya pun buat yang terbaik dalam setiap perkara yang Cik Ya buat. Jangan lupa solat, mengaji dan berdoa Cik Ya. Mak selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak mak. Ingat Cik Ya, kita bukan orang senang. Tak ada siapa yang akan tolong kita melainkan diri kita sendiri dengan izin Tuhan”, sambung Puan Jamalia. Hati Nadia menjadi sejuk mendengar kata-kata Puan Jamalia. Dan kata-kata itu yang disulam di benak hatinya untuk terus berusaha sehinggalah ke hari ini. Saat namanya dipanggil ke atas pentas, hati kecilnya menjerit,
“ Mak, ini untuk mak!”.
Selesai majlis graduasi dan pemulangan jubah, Nadia, Nurul dan Puan Jamalia bersiap sedia menuju ke stesen bas, Terminal Sungai Nibong untuk pulang ke Negeri Sembilan. Sementara menanti waktu perjalanan, mereka berehat di surau terminal.
“ Cik Ya, lepas ni Cik Ya sambung study ye”, ujar Puan Jamalia tiba-tiba. Nadia memandang ibunya.
“ Mana nak dapatkan duit mak? Sambung study bukannya murah”, balas Nadia.
“ Jangan risau tentang duit. Mak boleh cari duit lagi untuk Cik Ya sambung belajar. Mak nak anak mak Berjaya, dapat belajar tinggi-tinggi, dapat cari kerja yang lebih baik”, sambung Puan Jamalia. Nadia hanya berdiam diri. Dilema. Dia ingin segera bekerja dan mencari duit untuk membantu ibunya. Dia juga tak mahu lagi belajar jauh dari ibunya yang akan tinggal bersendirian di rumah kerana adik-adiknya tinggal di asrama. Jujur, cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah universiti memerlukan dirinya untuk menyambung pengajian ke aras yang lebih tinggi. Dia keliru.
“Terima kasih mak”, kata Nadia lantas memeluk insan mulia itu.
“ Dr Nurul Nadia Bt Abdullah”, ucap Nadia pelahan, membaca tanda nama di pintu biliknya. Sudah 3 tahun Nadia menjadi seorang pensyarah Immunologi di Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertempat di Kuala Lumpur.
Berkat doa, semangat dan dorongan yang diberikan keluarga, terutama ibunya, perjalanan Nadia sebagai seorang pelajar lanjutan PHD dipermudahkan Yang Maha Berkuasa. Impian dan harapan yang disulam kukuh di benak hatinya mengikat cebisan-cebisan hati yang hampir tercarik dek cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang bergelar seorang pelajar. Hari ni 15 Julai 1965, merupakan hari ulang tahun ibunya Puan Jamalia.
“Salam, mak. Mak, esok Cik Ya balik. Mak, tolong masakkan lauk kegemaran Cik Ya ye”, kata Nadia dengan nada ceria. Dia mengenggam erat sebuah dokumen pembelian rumah merangkap hadiah yang ingin diberikan kepada ibunya.
Semuanya telah ditetapkan Yang Maha Pencipta. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dibawa Nadia dilanggar dengan lori dari arah belakang dan membuatkan keretanya terbabas di tepi jalan. Dengan takdir Illahi, Nadia menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian.
Di rumah, Puan Jamalia, Nasha dan Nurul bersiap sedia menyambut kepulangan Nadia.
“Kring..kring…”, telefon bimbit Puan Jamalia berbunyi. Nurul mengangkat telefon milik ibunya.
Berita yang diterima Nurul bagai kilat yang menyambar halilintar. Telefon bimbit milik ibunya dipeluk erat di dadanya.
“Nurul, siapa telefon? Cik Ya ke?”, tanya Puan Jamalia.
Nurul masih membisu. Pemergian seorang insan tersayang susah untuk baginya menerima kenyataan itu dengan tiba-tiba.
Nasha mengoncang tubuh adiknya. Perlahan, air mata mulai tumpah di pipi Nurul. Nasha mengambil telefon bimbit. Mujur talian masih belum dimatikan.
“Hello, siapa ni?”, tanya Nasha.
Berita yang sama disampaikan kepada Nasha. Nasha tersentak dan terus memeluk ibunya. Sambil menahan tangisan, Nasha berkata,
“ Mak, Cik Ya dah tak ada”, kata Nasha sayu masih memeluk tubuh wanita tua itu.
Puan Jamalia terduduk lemah. Tubuhnya masih dirangkul Nasha. Nurul mendapatkan ibu dan kakaknya, turut memeluk kedua-duanya. Suasana petang itu sangat kelam, diwarnai kenyataan yang sangat gelap.
Selepas 4 hari pemergian Nadia, keluarga Puan Jamalia didatangi seorang peguam menyampaikan wasiat dari arwah Nadia. Senaskah dokumen berwarna putih diserahkan kepada Puan Jamalia. Dalam keadaan yang masih sebak, Puan Jamalia membaca dokumen itu dengan perlahan.
“Dokumen Pembelian Rumah Secara Tunai Milik Puan Jamalia Binti Rahman”, kata Puan Jamalia lantas memandang wajah peguam lelaki di hadapannya itu.
“ Rumah itu milik puan. Arwah membelinya untuk puan, namun dia tidak sempat menyerahkan dokumen itu secara peribadi kepada puan. Saya turut menumpang simpati. Saya harap puan dan keluarga banyakkan bersabar”, kata peguam itu lagi.
“ Nadia juga ada menyediakan sejumlah harta buat puan dan keluarga. Saya juga bertanggungjawab untuk menyerahkan ini kepada puan dan keluarga”, tambah peguam itu lagi.
Sebuah diari milik Nadia diserahkan kepada Puan Jamalia. Dia membaca bait-bait tulisan anaknya dengan teliti dan penuh kerinduan. Saat dia membaca muka surat terakhir diari itu, air matanya tumpah lagi. Nota akhir itu berbunyi,
“ Dear Diari,
Alhamdulillah duitku dah cukup untuk membelikan mak sebuah rumah. Selama ini, itu hasrat mak yang ingin sekali aku tunaikan. Semoga hadiah ini merupakan hadiah yang terbaik yang dapat ku berikan buat insan yang telah banyak bersusah payah berkorban masa dan tenaga demi aku dan adik-adik. Mak, maafkan Nadia sebab lambat tunaikan janji ini ye”.
Pertemuan dan perpisahan semuanya telah ditetapkan Yang Maha Mengetahui.
“ Terima kasih, sayang. Insya-Allah, kita jumpa di SyurgaNya nanti”, tutur Puan Jamalia perlahan sambil memeluk Nasha dan juga Nurul.
Tamat.













No comments:

Post a Comment